Friday, June 6, 2008

Kenaikan minyak beri kesan buruk pengusaha kenderaan berpermit


BIMBANG ... Chin Lim Soon @ Ah Soon (kiri) dan Chin Nam Sing (kanan) menunjukkan muka depan akhbar New Sabah Times, yang memaparkan berita mengenai kenaikan harga minyak petrol dan diesel pada Rabu.


Pengusaha kenderaan pacuan empat roda berpermit yang beroperasi di kawasan terpencil seperti Keningau – Sepulut – Salong berkata, kenaikan harga minyak petrol dan diesel yang mendadak dan tinggi pada semalam, memberi kesan yang buruk kepada mereka.

“Kami menghadapi kerugian yang amat besar,” jelas seorang pemimpin pengusaha kenderaan itu, Chin Lim Soon @ Ahson, 50. Beliau berkata, kenaikan harga diesel sebanyak RM1 dan 78 sen terhadap petrol memungkinkan perkhidmatan ke kawasan pelusuk pedalaman itu tidak dapat bertahan.

Katanya, dengan kenaikan harga bahan bakar itu, kos operasi perkhidmatan tersebut melonjak naik, mengakibatkan ramai pengusaha yang memilih untuk gulung tikar. Pacuan empat roda hanya satu-satunya perkhidmatan yang menghubungkan penduduk di pelusuk pedalaman Spulut dan Pensiangan dengan dunia luar.

Tambang bagi seorang pelanggan untuk perkhidmatan itu ke Bandar Keningau, ialah RM25 dan tidak pernah dinaikkan sejak lebih 26 tahun, walaupun telah beberapa kali kenaikan harga bahan bakar itu. Namun kenaikan kali ini jelas Chin, dianggap oleh sebahagian besar pengusaha perkhidmatan itu sebagai telah menutup tempat mereka untuk mencari makan.

“Penduduk tidak mampu untuk membayar lebih daripada harga lama itu,” jelas seorang lagi pengusaha Chin Nam Sing, 48. Sehubungan dengan itu mereka merayu kepada kerajaan agar membenarkan kenaikan tambang sebanyak RM10, menjadikan RM35 bagi setiap pelanggan yang menggunakan perkhidmatan itu, sama ada dari Bandar Keningau – Sepulut – Salong atau sebaliknya.

Mereka berkata, kenaikan RM10 itu masih terlalu murah berbanding kenaikan kos operasi yang mereka tanggung. Chin berkata, perkhidmatan pengangkutan awam yang beroperasi dari Salong – Sepulut – Keningau, telah beroperasi sejak lebih 26 tahun yang lalu dan lebih bersifat memberi kemudahan kepada pengguna.

Kos operasi bagi sebuah kenderaan pacuan empat roda dari Keningau ke Salong ialah sebanyak RM120, berbanding pendapatan yang mereka perolehi sebanyak RM150 bagi kadar tambang lama, iaitu RM25 seorang penumpang. Ini bermakna katanya, pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam ke kawasan pedalaman itu, hanya memperolehi keuntungan kira-kira RM30 sehari.

“Tidak berbaloi sama sekali,” tambah Chin, dan merayu kepada kerajaan agar mengambil kira rungutan mereka, khususnya rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman dan belum dibekalkan dengan kemudahan jalanraya yang baik.

Beliau berkata, kemudahan jalan raya yang tidak baik, di samping kelemahan ‘kuasa beli’ dikalangan pengguna di kawasan itu, menyaksikan kenaikan harga bahan bakar itu memberi kesan yang teruk kepada rakyat di sini.

1 comments:

HHunter said...

BN = BARANG NAIK

Post a Comment